4/02/10

Fenomena Laman Web Rangkaian Sosial

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN (Utusan Malaysia)
nazrul.sharuddin@utusan.com.my


SEAKAN menjadi rutin. Internet kini merupakan sebahagian daripada kehidupan. Setiap hari kita tidak akan lupa untuk melayari laman web terutama rangkaian sosial yang menjadi kegemaran.

Melihat keterujaan itu, pengikut laman berkenaan pastinya mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka begitu seronok dan tertarik untuk menyertai aktiviti komunikasi secara maya.




Secara amnya, laman web rangkaian sosial merujuk kepada perkhidmatan yang membenarkan individu membentuk komuniti sosial secara dalam talian untuk pelbagai tujuan dan aktiviti.

Tidak semata-mata menyediakan platform perbincangan atau pertukaran pesanan di antara ahli, kehadiran laman-laman ini turut menawarkan pelbagai medium interaksi moden.

Ia termasuklah aplikasi perbualan dalam talian, perkhidmatan emel, paparan video, pembinaan blog dan perkongsian fail.



Menerusinya, aktiviti perbincangan akan menjadi lebih mudah kerana semuanya boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Kegilaan terhadap aktiviti ini semakin berkembang hari demi hari sehingga berjaya mendominasi kedudukan tertinggi bagi pelayaran laman web di kalangan pengguna Internet global.

Secara keseluruhannya, kini terdapat lebih kurang 170 laman web rangkaian sosial yang popular dan aktif digunakan oleh pengguna Internet seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Myspace Friendster dan sebagainya.



Mengambil contoh laman interaktif Facebook, ia kini memiliki 350 juta pengguna di peringkat global.

Di Malaysia, fenomena kegilaan ini bukan sesuatu yang baru. Jika dahulu ia hanya terkenal di kalangan golongan muda tetapi sekarang sambutan yang baik turut diterima daripada golongan profesional.

Ini kerana, selain berfungsi sebagai saluran komunikasi interaktif, platform tersebut juga diaplikasikan secara meluas untuk pelbagai tujuan lain seperti perniagaan dan politik.



Berdasarkan kajian, pengguna Internet di negara ini telah menjangkau 16 juta orang. Angka tersebut dijangka mencecah 20.4 juta orang menjelang 2012.

Daripada jumlah itu, perkhidmatan laman web rangkaian sosial telah mencatatkan penggunaan sebanyak 66 peratus. Ia menjadikan Malaysia berada di kedudukan ketiga dari segi akses laman berkenaan selepas Singapura dengan 74.3 peratus dan Korea Selatan, 68 peratus.



Laman terkenal

Antara laman terkenal dan paling kerap dikunjungi oleh pelayar Internet negara ini adalah Facebook dengan kira-kira 6.2 juta pengunjung.

Ia diikuti laman Friendster yang mencatatkan 4.2 juta pengguna. Seterusnya Myspace mempunyai 2.1 juta dan akhir sekali Twitter mencatatkan lebih kurang 750,000 pengunjung.

Antara keunikan laman web rangkaian sosial ini, ia mampu menjadi medium terbaik untuk mengumpulkan rakan-rakan dan saudara-mara lama yang telah terputus hubungan.



Melalui laman web ini setiap akaun profil pengguna akan mengandungi maklumat pemiliknya seperti nama, alamat, nombor telefon dan data penting lain bagi kemudahan pencarian.

Lebih menarik, pengguna turut dibenarkan memuat naik foto-foto dan video kegemaran mereka untuk dikongsikan bersama ahli komuniti lain.

Dengan cara tersebut, setiap individu berpeluang memberitahu perkembangan terkini dan aktiviti yang sedang dijalankan kepada ahli komuniti.

Bagi yang ingin menjalankan urusan perkongsian maklumat secara persendirian pula, laman web tersebut menyediakan aplikasi mesej peribadi di antara pemilik akaun dengan ahli-ahli terpilih sahaja.

Selain itu, pengguna turut ditawarkan aplikasi pengurusan kalendar bagi kemudahan menyimpan maklumat penting seperti temujanji, tarikh lahir ahli komuniti, nombor telefon dan perancangan aktiviti bulanan.

Tidak cukup dengan itu, pengguna laman web rangkaian sosial ini juga boleh mencuba pelbagai lagi aplikasi sampingan yang disediakan seperti permainan interaktif, kuiz dan sebagainya.



Ketika awal kemunculan perkhidmatan ini sekitar tahun 2002, penggunaanya hanya terhad kepada pelayaran menerusi medium pengkomputeran dengan akses Internet.

Namun, setelah berjaya mencetuskan fenomena luar biasa, ia kini boleh dicapai di mana sahaja melalui platform khas yang dibangunkan untuk aplikasi telefon bimbit.

Dengan cara itu, ia akan memudahkan pengguna mengakses laman web rangkaian sosial mereka dari mana-mana sahaja lokasi mereka berada.

Dari sudut keselamatan, mungkin ada yang bertanya, sejauh manakah perkhidmatan tersebut menjamin penggunanya daripada risiko pencerobohan siber.

Justeru, bagi memastikan kejadian tersebut tidak berlaku, pengguna dinasihatkan tidak mendedahkan maklumat peribadi dalam mana-mana aplikasi rangkaian sosial.

Sebenarnya, perkhidmatan laman web rangkaian sosial ini mampu memberi banyak manfaat kepada penggunanya jika ia digunakan dengan cara yang betul.

Tidak salah untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti tersebut. Cuma apa yang penting, setiap individu perlu menggunakannya secara bijak agar tidak membawa kesan negatif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program Sekolah November ini..... mohon perhatian semua... SELAMAT DATANG KE KOFPA 2011

poster color